Saturday 14 January 2017

Kajian Sejarah Kg. Sungai Tangkas, Bandar Baru Bangi, Selangor.








Kampung Sungai Tangkas
   Sungai Tangkas atau Kampung Sungai Tangkas merupakan sebuah perkampungan melayu yang  terletak berhampiran dengan Bandar Baru Bangi dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Menurut ketua kampung terkini, pada asalnya kampung  ini merupakan sebuah estate ladang getah yang dikenali sebagai Estet Sungai Tangkas,Bangi. Ladang getah tersebut  pada masa itu merupakan tempat penduduk mencari sumber pencarian hidup dengan menoreh getah sebelum penduduk kampung berpindah ke sebuah taman bernama Taman Pantun UKM.
Namun begitu, keadaan cuaca yang kerap berlaku hujan lebat menyebabkan Taman Pantun Ukm sering dilanda banjir. Maka penduduk mengambil keputusan untuk berpindah kembali ke Kampung Sungai Tangkas. 
 Nama Kampung Sungai Tangkas asalnya dari ketangkasan penduduk kawasan tersebut berlawan dengan tentera Jepun sebelum kemerdekaan negara tercapai  iaitu sekitar tahun 1950. Kini usia kampung tersebut sudah hampir berusia 60 hingga 70 tahun. Sejak pembukaan kampung ini sehingga kini, seramai lima orang ketua kampung telah mentadbir  kampung tersebut. Senarai jawatankuasa terdiri daripada;
·         Seorang ketua kampung
·         Seorang setiausaha
·         Seorang bendahari, dan
·         12 penduduk kampung sebagai Ahli Jawatankuasa
 Menurut ketua kampung, terdapat beberapa organisasi bukan kerajaan (NGO) dari dalam dan luar kampung bersama-sama membantu ahli jawatankuasa kampung tersebut untuk menguruskan perihal kampung ini. Antara aktiviti-aktivitiyang dijalankan setiap tahun adalah;
·         Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN)
·         Program kesedaran kesihatan
·         Sukaneka
·         Pertandingan sukan rakyat
·         Pertandingan bola sepak
·         Poco-poco
·         Perlumbaan Motocross, dan
·         Pertandingan memancing.
Tarikan yang terdapat pada kampung ini adalah kolam memancing ikan dan kedai yang menawarkan servis membaiki kereta pada harga yang murah selain diusahakan oleh 100% bumiputera malah pengusahanya merupakan penduduk kampung itu sendiri.  Perancangan untuk masa akan datang adalah untuk menaiktaraf surau kampung menjadi sebuah masjid lantaran jumlah penduduk yang semakin bertambah. Salah satu pencapaian yang menjadi kebangaan adalah infrastruktur kampung yang pesat membangun semenjak penubuhan UKM pada tahun 1970.
 Perbangunan kampung tersebut dikatakan mengambil hampir 4 tahun untuk mencapai infrastruktur seperti sedia ada pada masa kini. Selain itu, penduduk-penduduk kampung masih mengamalkan kegiatan turun temurun iaitu rewang apabila terdapat sebarang kenduri seperti kenduri kahwin, korban, dan sebagainya. Semangat kerjasama dalam kalangan penduduk-penduduk kampung masih terus dipraktiskan sehingga kini. Tambahan pula, acara-acara sukaneka kampung ini seringkali dianjurkan di stadium UKM. Berdasarkan lawatan lokasi, terdapat tapak motocross di dalam kawasan kampung di mana tapak tersebut dibina sendiri oleh penduduk kampung dan setiap dua bulan akan diadakan pertandingan motocross  di kampung tersebut.  Aktiviti gotong-royong pula diadakan setiap bulan untuk menjamin kebersihan kampung selain mengeratkan hubungan silaturahim dan meningkatkan semangat kerjasama dalan kalangan penduduk kampung.

Terdapat sepuluh jalan dalam kampung ini dan jalan-jalan ini dinamakan Jalan Kelisa 1 sehingga Jalan Kelisa 10. Jalan – jalan tersebut dinamakan sendiri oleh ketua kampung yang ke-3. Keluasan Kampung Sungai Tangkas adalah seluas 45 ekar tidak termasuk taman-taman yang terdapat di sekeliling Sungai Tangkas. Kapasiti penduduk kampung adalah serami  1500 setakat ini. Pekerjaan kebanyakan penduduk kampung adalah bekerja di sektor kerajaan atau sektor swasta. Terdapat juga bilangan kecil penduduk yang menjalankan perniagaan sendiri. Kedudukan kampung ini sangat strategik  kerana ia berdekatan dengan semua kemudahan awam dan juga bandar seperti stesen keretapi  UKM, dan Bandar Baru Bangi.


No comments:

Post a Comment